Masyarakat dunia kini dikejutkan dengan skandal campuran Melamine ke dalam susu bayi keluaran Shijiazhung Sanlu Group Co. di China yang menyebabkan 53,000 bayi dan kanak-kanak jatuh sakit dan 12,900 lagi dirawat di hospital. Sehingga 20 september 2008, 4 disahkan menjadi korban bahana melamine ini.

Namun begitu, bagaimana bahan kimia ini begitu bahaya dan boleh maut ? Apakah itu Melamine ? Melamine ialah bes organik yang terdiri daripada karbon, oksigen dan nitrogen. Bahan kimia ini kali pertama dihasilkan oleh Justus von Liebig pada 1830 yang kemudiannya dihasilkan secara besar besaran untuk kegunaan industri. Seperti yang kita sedia maklum, melamine merupakan bahan yang digunakan untuk membuat pinggan mangkuk melamine. Selain itu, melamine juga digunakan untuk menyelaputi permukaan plastik dan kayu.

Kenapa di campurkan pada susu formula bayi ? Dipercayai pihak pembuat susu di China menambah air ke dalam susu bagi meningkatkan kuantitinya. Namun begitu, tindakan ini menyebabkan kandungan nutrien di dalam susu merosot. Oleh sebab itu, mereka mencampurkan melamine bagi meningkatkan kandungan protein di dalam susu tersebut. Penambahan secara sengaja adalah untuk meningkatkan tahap nitrogen bagi mematuhi standard kandungan protein dalam susu. Dalam menentukan tahap protein di dalam sesuatu nutrisi, kandungan nitrogen dijadikan ukuran. Melamine mempunyai kandungan nitrogen yang tinggi. Oleh itu, dengan mencampurkan bahan kimia ini ke dalam susu yang dicairkan akan mengaburi bacaan sebenar tahap protein pada susu tersebut. Penambahan Melamine dalam makanan adalah menyalahi undang¬undang di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bagaimana melamine boleh membentuk batu karang di dalam ginjal ? Walaupun melamine sangat larut di dalam air dan mudah disingkirkan melalui urin, buah pinggang manusia tetap mempunyai hadnya tersendiri. Akibatnya, pada dos melamine yang tinggi, ginjal tidak lagi mampu menyingkirkannya dari tubuh badan manusia. Oleh itu, kepekatan melamine akan bertambah seterusnya membentuk Kristal yang turut dikenali sebagai batu karang. Pembentukkan batu karang ini akan bertambah saiz dari semasa ke semasa yang akhirnya menyebabkan kegagalan ginjal yang serius. Pada Mac 2007 yang lalu, satu kajian oleh pakar toksikologi, Perry Martos dari Universiti University of Guelph mendapati ada satu lagi bahan kimia yang mendorong kepada pembentukan batu karang akibat melamine iaitu cyanuric acid. Gabungan kedua-dua bahan kimia ini boleh menyebabkan pembentukan batu karang yang sekaligus menyebabkan kegagalan ginjal.

Bagaimana pembentukan batu karang ini menjejaskan fungsi ginjal ? Seperti yang kita tahu, ginjal merupakan organ yang penting dalam ‘menapis’ bahan-bahan toksik di dalam darah dan disingkirkan melalui urin. Dari ginjal, urin mengalir ke pundi kencing melalui ureter dan seterusnya disingkirkan keluar dari badan melalui saluran urethra. Bahaya pembentukan batu karang bukan terletak pada saiznya tetapi lokasi dimana ia berada di dalam ginjal. Jika ia betul-betul berada di saluran ureter (saluran urin dari ginjal ke pundi kencing) lalu tersekat pada saluran tersebut, ia akan menyebabkan saluran ureter tersumbat. Akibatnya, urin tidak dapat keluar dari ginjal lalu meningkatkan tekanan pada organ tersebut. Pada sesetengah kes, tekanan yang meningkat ini membantu mengeluarkan batu karang daripada saluran tersebut. Namun begitu, jika ia berterusan tanpa sebarang rawatan, keadaan ini akan menyebabkan kegagalan ginjal yang kronik. Namun begitu, pada kes bayi di China, ia lebih terarah kepada kegagalan ginjal akut.

Kesan melamine secara langsung mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata.

Pengambilan melamine melalui makanan boleh mengakibatkan: • kerosakan pada sistem pembiakan • pembentukkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing. Ini boleh mengakibatkan kegagalan ginjal terutamanya kepada bayi

Sebagai langkah proaktif ,semua pihak disarankan agar ibu bapa dapat memantau gejala masalah buah pinggang seperti bayi menangis tanpa sebab ketika kencing, kencing berdarah, dan tekanan darah tinggi pada bayi.

0 comments: